Uncategorized

Daras Rohani Khazain Nombor 13

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
Wahai hamba pencari Tuhan! Bukalah telinga dan dengarkanlah bahawa sesungguhnya keyakinan itu adalah sesuatu yang luar biasa. Keyakinan boleh melepaskan kamu dari cengkaman dosa. Keyakinan itu boleh memberikan kekuatan untuk melakukan kebaikan. Keyakinan itu boleh menjadikan kamu seorang asyik yang sejati kepada Tuhan.
Adakah kamu boleh terselamat dari dosa tanpa keyakinan? Adakah kamu dapat mengawal hawa nafsu tanpa penzahiran keyakinan? Adakah kamu dapat memperolehi suatu ketenteraman tanpa keyakinan? Adakah kamu dapat membuat perubahan yang sejati dalam diri kamu tanpa keyakinan? Dapatkah kamu memperoleh suatu kebahagiaan yang hakiki tanpa keyakinan? Adakah di bawah langit ini suatu kaffarah (penebusan) atau bayaran fidyah yang dapat menghindarkan kamu dari dosa? ……
Oleh karena itu ingatlah sebaik-baiknya, bahawa tanpa keyakinan yang sempurna kamu tidak akan dapat keluar dari kehidupan yang gelap gelita dan juga kamu tidak akan mendapat Ruhul Qudus. Berbahagialah mereka yang mempunyai keyakinan kerana mereka akan melihat Tuhan. Berbahagialah juga mereka yang telah selamat dari waswas dan keraguan kerana mereka itulah yang akan selamat dari dosa. Berbahagia jugalah kamu yang apabila diberikan khazanah keyakinan, dosa-dosa kamu pun hilang selepas itu.
Dosa dan yakin tidak dapat berkumpul bersama. Adakah kamu akan memasukkan tangan kamu ke dalam sebuah lubang jika di dalam lubang itu kamu lihat sendiri ada seekor ular yang amat berbisa? Adakah kamu tetap berdiri di suatu tempat di mana batu-batu berjatuhan dari gunung berapi? Atau tempat itu menjadi sasaran petir yang menyerbu dari langit, atau tempat serangan singa yang buas? Atau adakah kamu akan terus tinggal di tempat jangkitan taun berbahaya yang boleh menghapuskan keturunan insan? Jadi, jika kamu mempunyai keyakinan sebegitu rupa sebagaimana keyakinan kamu ke atas ular, singa, petir dan taun tersebut, sudah pasti kamu tidak akan berani melakukan sesuatu yang boleh mengundang hukuman Tuhan, ataupun kamu tidak akan berani memisahkan diri dari kejujuran dan kesetiaan kepada Tuhan.
(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 66,67)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *