Kemudahan Dakwah Moden
fadly@hmetro.com.my
Meliputi kawasan seluas 21,000 meter persegi, masjid itu mampu menampung 12,000 jemaah pada satu-satu masa.
Pada masa sama, masjid berkenaan menyediakan lif dan kerusi bagi mereka yang tidak dapat melakukan solat secara berdiri.
Sementara ruang solat wanita direka bentuk khas lengkap dengan ciri kedap suara. Ruang itu diperuntukkan khusus bagi wanita yang membawa anak supaya ia tidak mengganggu jemaah ketika menunaikan solat.
Masjid Baitul Futuh juga dilengkapi dengan tandas serta tempat wuduk moden.
Lampu di ruang wuduknya jenis magnetik automatik yang menyala sebaik jemaah masuk ke ruang berkenaan.
Ia kemudiannya tertutup secara automatik sekiranya ruang wuduk sudah tidak digunakan.
Setiap tahun lebih 10,000 pelawat dicatatkan yang sebahagian besar terdiri daripada rombongan pelajar, kumpulan agama, organisasi perkhidmatan awam, badan amal, kerajaan tempatan dan pusat.
Lebih hebat, masjid itu memiliki studio televisyen khusus bagi menerbitkan dan menyiarkan kegiatan dakwah yang berlangsung di masjid itu.
Studio serba lengkap itu turut mempunyai unit terjemahan bagi siaran pelbagai bahasa, bilik suntingan, grafik dan animasi.
Dari studio itulah pelbagai siaran dakwah dapat disiarkan ke seluruh dunia menggunakan tujuh digital satelit dengan menggunakan nama siaran Muslim Television Ahmadiyya International (MTAI).
Bagi keperluan dakwah, masjid itu turut memiliki auditorium dinamakan Dewan Tahir untuk tujuan seminar, simposium dan kegiatan dakwah lain kepada seluruh masyarakatnya.
Bukan saja masyarakat Islam malah yang bukan Islam juga turut diundang dengan harapan Islam dapat diperkenalkan dengan lebih luas kepada masyarakat Inggeris di situ.
Meskipun berdepan dengan kritikan terutamanya berkaitan peristiwa pengganas yang dikaitkan dengan Islam, semua itu dapat diatasi dengan berkesan.
Malah ramai kalangan masyarakat bukan Islam di Eropah meminta mereka diberi penerangan sejelas-jelasnya mengenai Islam.