Uncategorized

Khilafat Dan Mujaddid

KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
10 JUN 2011 / 10 IHSAN 1390HS
23 JamadiS Tsaani 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Selepas membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:
Dalam khutbah pada 27 Mei yang lepas, saya telah menjelaskan berkenaan dengan khilafat berpandukan Al-Qur’an, khabar ghaib Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan sabda-sabda Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Pada waktu itu saya juga hendak menjelaskan dari sudut pandang para mujaddid, oleh kerana hendak mendapatkan lebih banyak maklumat terperinci, sebab itu saya tidak jelaskan dalam khutbah tersebut, namun hari ini saya akan perdengarkan.
Beberapa lama sebelum ini ada seorang anak bertanya di dalam Kelas Waqfe Nou, adakah mujaddid akan datang pada masa hadapan? Dari situ saya terfikir, soalan ini mungkin timbul di beberapa rumah kerana soalan seperti ini tidak mungkin boleh terfikir oleh seorang anak kecil. Juga mungkin ada beberapa orang yang hendak menimbulkan keraguan dan kerisauan dalam diri anak-anak jemaat dengan bertanyakan soalan ini, bahawa menurut hadis Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, baginda bersabda bahawa mujaddid akan datang pada setiap permulaan abad. Dan soalan ini selalu timbul dalam jemaat waktu demi waktu. Walaubagaimanapun, soalan ini tidak timbul dari anggota jemaat yang mukhlis, malah ia muncul dari orang-orang yang hendak menimbulkan kekacauan dalam jemaat.
Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani radiallahu anhu juga selalu menjelaskan hal ini dalam berbagai kesempatan. Kemudian dalam zaman Hazrat Khalifatul Maseeh Tsalis, hal ini timbul dengan sangat keras, beliau banyak menjelaskan hal ini dalam khutbah dan pelbagai peluang yang ada. Kemudian, Hazrat Khalifatul Maseeh Rabi’ juga disoal tentang perkara ini. Ringkasnya, hal ini selalu ditimbulkan. Orang-orang munafiq itu selalu menimbulkan keresahan di dalam jemaat dengan pelbagai persoalan misalnya, apa perbezaan di antara khilafat dan mujaddid? Mereka memberi alasan hendak memperdalamkan pengetahuan, tetapi ada sesuatu di sebalik niat mereka. Hal ini sangat ketara dalam era Khilafat Tsalisah di mana ada fitnah yang tersembunyi. Namun, janji Allah Ta’ala kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa Dia akan menunjukkan Tangan Kudrat yang berkuasa untuk khilafat selepas beliau. (Dipetik dari Risalah Al-Wasiyat, Rohani Khazain Jilid 20 halaman 304)
Sebab itu, setiap kali fitnah seperti ini muncul, kurnia Allah Ta’ala akan menghapuskannya kerana majoriti jemaat tidak berpihak kepada mereka. Walaupun fitnah hari ini tidak sama kesulitannya dengan keadaan pada zaman Khilafat Ketiga, namun, oleh kerana ia timbul, maka saya merasa perlu untuk memberi sedikit penjelasan.
Memang tidak diragukan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam pernah bersabda mengenai kedatangan mujaddid di setiap permulaan abad (Sunan Abu Daud, Kitabul Malahim, bab Maa Yuzkara Fi Qarnil Mi’ah hadis 4291) dan perkataan di situ tidak hanya tunggal, malah ia juga boleh jamak. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga menjelaskan hal itu bagi membuktikan kebenaran dakwaannya. Waktu ini saya hendak menyampaikan di hadapan tuan-tuan dengan rujukan daripada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Berkenaan dengan ini terdapat banyak ucapan dan tulisan yang tidak mungkin dapat disampaikan semuanya, namun ada beberapa petikan yang hendak saya sampaikan. Dan jika ia direnungkan sedalam-dalamnya, maka perkara mengenai mujaddid akan menjadi jelas. Beliau berkata:-
“Tuhan tidak memperlakukan sedemikian rupa terhadap Islam, dan oleh kerana Dia berkeinginan agar kebun ini sentiasa menghijau, sebab itu dalam setiap permulaan abad, Dia telah menyirami kebun ini dalam siri yang baru dan menghindarkannya daripada kekeringan. Walaupun dalam setiap permulaan abad itu akan berdiri seseorang hamba Tuhan untuk melakukan perbaikan, namun orang jahil akan terus-menerus melakukan penentangan, dan mereka sangat susah hati melihat suatu kesalahan itu diperbaiki kerana ia telah menjadi adat kebiasaan di kalangan mereka”. Orang yang membuat bising ini telah membuat bising sejak dahulu lagi, kemudian mereka juga melakukan penentangan. Walaubagaimanapun, beliau bersabda “tetapi Tuhan tidak meninggalkan sunnah-Nya sehingga peperangan antara hidayat dan kegelapan yang berlaku pada akhir zaman, pada abad ke-14 dan pada permulaan ribuan yang terakhir, kerana mendapati orang Islam dalam keadaan lalai, Tuhan telah ingat akan janji-Nya, agama Islam telah diperbaharui. Bagi agama-agama lain, selepas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, ia tidak lagi mengalami pembaharuan. Sebab itu agama lain telah mati. Tidak ada lagi kerohanian dalam agama mereka dan banyak kesalahan-kesalahan yang terpendam dalam ajaran mereka sepertimana pakaian yang sudah dipakai dan tidak pernah dicuci, maka banyak kotoran yang melekat di dalamnya sehingga tidak lagi boleh dibersihkan. Dan seseorang insan yang tidak ada sedikitpun kerohanian dan yang mana nafsu ammarah mereka belum bersih daripada kekotoran hidup yang hina, mereka sesuka hati sahaja campur tangan dalam agama sehingga rosak dan sekarang bentuknya sudah menjadi lain”. (Lecture Sialkot, Rohani Khazain jilid 20, halaman 203-204)
Jadi, beliau sangat jelas menyatakan bahawa dalam Islam, Allah Ta’ala telah melahirkan berbagai aulia dan mujaddid dalam pelbagai masa bertujuan untuk mendirikan kembali cahaya yang telah dibawa oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang akan menyebarkan agama dalam ruang lingkup mereka masing-masing. Ini kerana Allah Ta’ala hendak mengekalkan agama ini sedangkan pada agama-agama lain tidak ada jaminan seperti ini. Puncanya ialah di dalam agama-agama itu telah dimasukkan kotoran-kotoran sehingga menyebabkan agama menjadi rosak.
Kemudian beliau bersabda lagi:
“Ini yang berlaku dalam semua zaman, di setiap tempat perlu perbaikan. Sebab itu Tuhan telah mengutus mujaddid pada zaman ini yang disebut Maseeh Mau’ud. Dan dia telah ditunggu-tunggu sejak lama dahulu, dan semua nabi-nabi telah memberi khabar mengenai kedatangannya, dan orang-orang mulia zaman sebelumnya berkeinginan agar mereka dapat hidup pada waktunya”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 82, edisi 2003)
Sekarang, mujaddid yang dikatakan oleh beliau di sini adalah Maseeh Mau’ud yang telah ditunggu sejak sekian lama. Tidak ada mujaddid lain yang dikhabarkan seperti ini selain daripada Maseeh Mau’ud. Nabi-nabi yang terdahulu juga telah memberikan khabar ghaib berkenaan dengannya kerana zamannya adalah akhir zaman yang mana agama harus diterbitkan dan nama Allah Ta’ala harus disebarkan, amanat juga harus disebarkan.
Kemudian beliau bersabda:
“Apabila Tuhan melihat keadaan semasa zaman, dan bumi sarat dengan pelbagai jenis perbuatan fasiq dan maksiat dan kegelapan, maka aku diperintahkan untuk tabligh yang sebenar dan perbaikan”. Cuba perhatikan dan renungkan ucapan ini; diperintahkan untuk tabligh yang sebenar dan perbaikan. “Dan zaman sekarang ini juga sama …… orang-orang di dunia ini telah mengakhiri abad ke-13 Hijrah dan sampai pada permulaan abad ke-14. Justeru itu, atas perintah ini saya mula mengumumkan perkara ini kepada orang ramai melalui tulisan, isytihar dan ceramah, bahawa orang yang sepatutnya datang pada permulaan abad ini untuk tajdid agama adalah saya sendiri, supaya iman yang telah diangkat dari bumi ini dapat saya dirikan kembali”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain jilid 20, halaman 3)
Inilah pekerjaan mujaddid, tabligh sebenar dan perbaikan telah dinyatakan sebelumya. Iman yang telah diangkat akan didirikan kembali. Dan berkenaan dengan iman yang diangkat ada terdapat dalam khabar ghaib Rasulullah  sallallaahu alaihi wasallam, yakni jika iman pergi ke bintang Tsuraiya sekalipun, maka seorang dari Farsi akan lahir untuk membawanya kembali.
Kemudian beliau bersabda lagi:
“Dan dengan mendapat kekuatan dari Tuhan aku akan menarik dunia ke arah islah, takwa dan kejujuran, dan akan menjauhkan kesalahan iktikad dan amalan mereka. Dan kemudian apabila beberapa tahun berlalu maka dibukakan dengan begitu jelas kepadaku melalui wahyu Ilahi bahawa Maseeh yang telah dijanjikan sejak dahulu untuk umat ini, dan Mahdi terakhir yang tetapkan dalam takdir Ilahi mendapat hidayat dari Tuhan dalam zaman keruntuhan Islam dan penyebaran kegelapan ini, lalu mempersembahkan hidangan langit yang baru di hadapan manusia yang mana khabar mengenainya telah diberitahu oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sejak 13 abad yang lalu, orang berkenaan adalah aku”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain jilid 20, halaman 3-4)
Jadi, kedudukan beliau ini bukan hanya seorang mujaddid, malah Mahdi dan juga Maseeh, sebab itu beliau mendapat pangkat kenabian.
Kemudian beliau bersabda lagi:
“Dalam hal ini kepada siapa yang boleh dikatakan bahawa zaman Mahdi adalah zaman tajdid dan gerhana bulan dan matahari menjadi tanda yang mendokongnya? Jadi, tanda itu telah zahir, siapa yang hendak menerimanya, silakan”. (Hujjatullah, Rohani Khazain Jilid 12, halaman 160)
Dan tanda gerhana bulan dan gerhana matahari ini, sesuai dengan sabda Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam iaitu tidak pernah terjadi untuk menjadi tanda kepada sesiapa sejak langit dan bumi ini diciptakan. (Sunan Daru Qutni Juzu 2, halaman 51, kitabul ‘Idein bab Sifatus Sholaatal Khusuuf wal Kusuuf Wa Hai’atihima hadis nombor 1778, Darul Kutubul Ilmiah Beirut 2003)
Ini hanya sebagai tanda bagi Mahdi kita, Mahdi yang sangat tinggi kedudukannya. Bukan hanya berpangkat sebagai mujaddid malah lebih daripada itu. Hal ini perlu diperjelaskan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bukan hanya mujaddid untuk abad ke-14, bahkan juga sebagai Maseeh dan Mahdi. Walaupun beliau dihantar untuk tajdid agama dan untuk hidayat, tetapi kedudukan beliau sangat tinggi, lebih tinggi dari kedudukan mujaddid. Walaupun beliau membuat pengakuan bahawa ‘aku adalah mujaddid abad ke-14’, tetapi sebagaimana yang telah saya katakan bahawa disebabkan kedudukan itu beliau mendapat darjat kenabian.
Kemudian beliau berkata lagi:
“Hendaklah diketahui, walaupun hadis dari Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ini telah terbukti benar bahawa Allah Ta’ala akan terus membangkitkan mujaddid untuk memperbaiki umat ini yang akan memperbaharui agama, tetapi untuk abad ke-14, yakni berkenaan dengan khabar suka ini iaitu akan muncul Mahdi yang agung pada abad ke-14, ia banyak mengandungi isyarat kenabian yang tidak mungkin dapat diingkari oleh seorang yang berhajat”. (Nisyaane Asmaani, Rohani Khazain jilid 4, halaman 378)
Kemudian berkata lagi:
“Tuhan telah mengutus rasul ini yakni mujaddid yang sempurna supaya pada zaman ini Tuhan dapat membuktikan bahawa semua agama dan semua ajaran tidak setanding dengan Islam”. (Tiryaqul Quluub, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 266)
Jadi, satu kedudukan beliau ialah seorang mujaddid yang agung dan sempurna. Di tempat lain beliau alaihissalam berkata bahawa khilafat atau mujaddidiyat Hazrat Musa berakhir pada zaman Hazrat Isa. Tetapi, untuk memastikan ajaran Islam sentiasa segar, Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam telah mengkhabarkan tentang kedatangan mujaddid dalam setiap abad dengan tujuan bid’ah-bid’ah yang masuk dalam agama dalam tempoh 100 tahun, atau keburukan yang muncul, keperluan untuk memperbaiki agama, semuanya dapat diatasi. Kelemahan yang timbul juga dapat dijauhi. Dan Sejarah Islam menjadi saksi bahawa di dalam Islam, untuk meneruskan ajaran yang cantik ini dan untuk memastikannya tetap dalam keadaan asli, maka mujaddid-mujaddid di utus. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam mendakwakan hal ini bahawa ‘jika abad-abad sebelumnya ada mujaddid, mengapa abad ini tidak ada? Dalam abad ini seharusnya mujaddid datang’. Beliau juga menjelaskan bahawa ‘selain aku tidak ada mendakwakan hal ini bahawa aku adalah mujaddid abad ini dan menurut khabar suka Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga aku adalah Maseeh Mau’ud, dan oleh kerana Maseeh Mau’ud mendapat darjat nabi, sebab itu aku adalah mujaddid yang sempurna. Dan dengan kelayakan sebagai mujaddid abad ke-14, dengan kelayakan sebagai Maseeh dan Mahdi, beliau adalah mujaddid yang agung di mana telah dikhabarkan oleh para nabi terdahulu. Hal ini beliau ucapkan sebagai membuktikan kepada para penentang yang mengkritik bahawa dakwaan beliau adalah dusta. Jadi, inilah keagungan beliau, dan dengan rujukan ini kita hendaklah membaca keseluruhannya. Sekarang, jika diletakkan keagungan beliau di hadapan kita dan dipersembahkan hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengenai khilafat, maka persoalan tentang mujaddid akan datang dapat diselesaikan. Malah, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga telah mendakwakan dengan begitu jelas di dalam Lecture Sialkot bahawa “imam ini yang mendapat gelaran Maseeh Mau’ud dari Tuhan, beliau adalah mujaddid abad ini dan juga mujaddid Alaf Akhir (ribuan yang terakhir)”. (Lecture Sialkot, Rohani Khazain jilid 20, halaman 208)
Alaf akhir bermaksud ribuan tahun yang terakhir. Penjelasan telah beliau berikan bahawa zaman Adam kita adalah tujuh ribu tahun dan kita sedang menjalani ribuan yang ketujuh. Dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam pernah bersabda mengenai zaman kegelapan yang berlangsung selama 1000 tahun sebelum kedatangan Maseeh dan Mahdi pada abad ke-14, dan seiring dengan itu jugalah Islam mendapat kehidupan kali kedua. Dalam seribu tahun yang berlalu itu ramai mujaddid yang datang di berbagai tempat. Tetapi kelayakan mereka sama seperti lampu-lampu kecil yang hanya menerangi daerah masing-masing dan pada abad mereka sahaja. Malah adakalanya dalam satu-satu masa beberapa mujaddid yang wujud. Tetapi kemuliaan ini hanya diberikan kepada mujaddid yang agung ini sehingga dikatakan sebagai mujaddid ribuan yang terakhir. Kemuliaan beliau bukan hanya sebagai mujaddid untuk satu abad malah sebagai mujaddid ribuan yang terakhir kerana dalam kehidupan dunia ini, sekarang merupakan ribuan yang terakhir. Maka beliau bersabda di satu tempat bahawa “oleh kerana sekarang ini adalah ribuan yang terakhir, maka perlu imam akhir zaman muncul pada permulaannya, dan selepas itu tidak ada imam dan tidak ada Maseeh kecuali menjadi bayangan kepadanya”. (Lecture Sialkot Rohani Khazain jilid 20, halaman 208)
Yakni mereka itu akan mengikutinya. Jadi, tidak diragukan lagi bahawa sesuai dengan sabda Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bahawa mujaddid akan datang dalam setiap abad dan pada masa akan datang juga boleh datang, tetapi sebagai bayangan kepada beliau. Dan bayangan yang beliau jelaskan adalah begitu terang dan menurut hadis Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.
Hadisnya ialah “Hazrat Huzaifah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda: Nubuat (kewujudan Nabi) akan tetap bersama kamu selama yang dikehendaki Allah, kemudian akan diangkat oleh Allah, selepas itu khilafat yang berlandaskan kenabian akan terjadi dan ia berlangsung selama ia dikehendaki Allah, kemudian nikmat itu akan diangkat kembali, kemudian akan muncul zaman raja-raja yang zalim yang akan berlanjutan selama ia dikehendaki Allah, selepas itu ia akan diangkat oleh Allah, selepas itu muncul zaman pemerintahan hasil rampasan kuasa dan akan berlanjutan selama dikehendaki Allah dan akan berakhir, kemudian bangkit kembali nikmat zaman khilafat yang berlandaskan kenabian, kemudian baginda berdiam diri”. (Musnad Ahmad bin Hambal Jilid 6, Musnad Nu’man bin Basyir halaman 285 hadis nombor 18596, Alimul Kutub Beirut 1998)
Jadi, khilafat yang berlandaskan kenabian akan wujud dan akan melakukan tugas tajdid agama. Ini kerana sabda Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam “aku muncul dalam satu bentuk kudrat dari Tuhan dan aku adalah satu kudrat Tuhan yang berjasad. Dan selepas aku akan ada beberapa wujud yang muncul sebagai kudrat yang kedua”. (Al-Wasiyat Rohani Khazain jilid 20, halaman 306)
Dan misal kudrat kedua yang beliau berikan ialah Hazrat Abu Bakar yang telah didirikan selepas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sebagai penzahiran kudrat kedua. Jadi, oleh kerana beliau sebagai seorang mujaddid ribuan tahun yang terakhir, maka hadis yang menyatakan bahawa akan berdiri khilafat yang berlandaskan kenabian akan sempurna melalui beliau. Oleh sebab itu, khilafat yang akan meneruskan pekerjaannya yang juga merupakan pekerjaan seorang mujaddid. Dan tidak diragukan lagi bahawa tarbiyat, islah dan tabligh adalah melalui khilafat, hal ini telah kita lihat sejak 1300 tahun dahulu. Mungkin pada abad-abad yang akan datang, sesuai dengan hadis dan juga seperti yang telah dikatakan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, akan ada mujaddid yang mendakwakan diri, tetapi syaratnya ialah mesti mengikuti Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan juga sebagai penzahiran kudrat kedua seperti pengumuman yang dibuat oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Jadi, jika Allah berkehendak, boleh sahaja kedudukan mujaddid itu diberikan kepada mana-mana khalifah dalam suatu abad. Allah Ta’ala boleh sahaja membuat pengumuman melalui khalifah semasa. Ini kerana ada mujaddid yang lahir di kalangan umat, selepas kewafatannya, maka orang akan mengatakannya sebagai mujaddid. Jadi, mujaddid tidak semestinya membuat pengakuan. Tetapi, jika Allah Ta’ala ingin, boleh saja pengumuman dibuat melalui khailfah semasa bahawa ‘saya adalah mujaddid’. Tetapi, hal ini juga jelas bahawa setiap khalifah adalah mujaddid dalam masanya kerana dia meneruskan pekerjaan nabi, iaitu pekerjaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, sama ada dia membuat pengumuman sebagai mujaddid atau tidak kerana dengan pengakuan sebagai mujadddid itu, khilafat tidak terpisah, malah kedudukan khalifah itu lebih dahulu, dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa khalifah adalah mujaddid pada zaman masing-masing. Maksud mujaddid sebagaimana yang telah Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam katakan iaitu menghapuskan segala bid’ah, meneruskan ajaran yang asal, berusaha membuat perubahan, dan membuat program tabligh Islam untuk mengembangkannya. Jadi, semua pekerjaan ini sedang dilakukan oleh Khilafat Ahmadiyah, malah bersandarkan kepada Nizam Khilafat, selain para muballigh, ramai juga Ahmadi yang melakukan tugas ini. Seolah-olah, untuk tajdid agama, lampu-lampu kecil ini sedang menyala di setiap tempat. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata bahawa dalam Bani Israil, untuk tajdid agama itu dalam satu-satu masa ramai nabi-nabi dan mujaddid yang datang. Dan nabi itu jugalah yang dikatakan sebagai khalifah dan juga mujaddid. (Dipetik daripada Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 123)
Kenapa tidak boleh ribuan mujaddid dalam umat Islam? Memang dari perkataan saya sendiri tetapi maksud itu adalah lebih kurang sahaja. Dan persoalan yang timbul ini adalah mengenai mujaddid dalam setiap abad, dan sebelum Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah berlalu 12 abad dan 12 mujaddid. Dan abad ke-14 ini beliau adalah mujaddid yang ke-13. Dan hal ini terbukti dalam Sejarah Islam bahawa dalam setiap tempat boleh lahir beberapa mujaddid dalam satu-satu masa. Untuk memperbaiki agama, di mana sahaja perlu, Allah Ta’ala akan melantik seseorang. Kemudian persoalan yang timbul ialah ada dalam risalah Jemaat Ahmadiyah dan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga ada menulis bahawa kenapa kita mengira 12 orang mujaddid? Di negara-negara Arab tidak mengakui tentang 12 orang mujaddid terutama sekali apabila memasukkan mujaddid dari negara India. Kebanyakan umat Islam tidak mengakui hal ini. Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani mempunyai jawapan yang sangat cantik. Beliau berkata:
“Berkenaan dengan mujaddid ada kesalahfahaman bahawa seorang mujaddid dibangkitkan untuk seluruh dunia. Hal ini adalah salah sama sekali. Sebenarnya dalam setiap negara dan daerah, Allah Ta’ala membangkitkan mujaddid, tetapi walaupun dia hanya untuk kaum atau negara tertentu, orang ramai menganggap mujaddid yang hanya untuk kaum atau negara mereka sendiri sebagai mujaddid untuk seluruh dunia. Sedangkan apabila Islam adalah untuk seluruh dunia maka perlu dalam setiap pelbagai daerah atau pelbagai negara itu berdiri seorang mujaddid. Hazrat Syed Ahmad Sahib Brelwi memang seorang mujaddid, tetapi bukan untuk seluruh dunia, malah hanya di sekitar India sahaja. Jika dikatakan bahawa beliau adalah mujaddid untuk seluruh dunia maka persoalan yang timbul ialah apa yang beliau telah berikan petunjuk kepada orang Arab? Apa yang beliau berikan untuk Mesir? Apa yang beliau berikan kepada Iran? Apa yang beliau berikan kepada Afghanistan? Beliau tidak memberikan apa-apa nasihat untuk negara-negara tersebut, dan jika Sejarah negara berkenaan dilihat maka ada kelihatan beberapa orang yang mendapat wahyu atau ilham untuk memberikan petunjuk kepada negara masing-masing. Jadi, mereka itu adalah mujaddid pada masa mereka masing-masing.” Tidak kiralah sama ada mereka membuat pengumuman atau tidak, sama ada mereka memberitahu kepada sesiapa mengenai mereka atau tidak, mereka telah melakukan kewajipan untuk agama dan untuk perbaikan, sebab itu mereka adalah mujaddid pada tempat mereka masing-masing. “Dan dia juga adalah mujaddid untuk tempatnya sendiri” yakni untuk orang India. “Beza hanyalah ada mujaddid yang besar dan ada kecil. Kepentingan mujaddid yang datang di India ialah di negara itu di mana Maseeh Mau’ud seharusnya datang dan dengan itu wujudnya ialah sebagai irhas kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam”. Yakni orang yang datang sebelum beliau, yang akan memberitahu bahawa Maseeh Mau’ud akan datang, mujaddid abad ke-14 akan datang. Berkata: “Jika tidak, kami tidaklah bermaksud bahawa hanya ini sahaja mujaddid, tempat lain kosong dari mujaddid. Setiap orang yang melakukan tajdid agama berdasarkan ilham, dia adalah mujaddid rohani. Setiap orang yang melakukan tajdid untuk Islam dan umat Islam, dia adalah mujaddid walaupun dia bukan mujaddid rohani. Sebagaimana yang telah saya berikan beberapa contoh bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pernah mengatakan Aurangzeb adalah mujaddid padahal Aurangzeb sendiri tidak menyatakan dia ada menerima ilham”. (Tafseer Kabiir jilid 7, halaman 199)
Jadi, inilah hakikat tentang mujaddid, dalam satu-satu masa telah wujud beberapa orang mujaddid malah boleh mencapai ribuan mujaddid. Tetapi, khalifah waqt (semasa) hanya seorang sahaja. Jadi, mana satu yang lebih besar, seorang dalam satu masa atau beberapa orang dalam masa yang sama? Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga telah memberikan kedudukan kepada khalifah iaitu Khilafat ‘Alaa Min Haajin Nubuwwah’. Mujaddid tidak diberikan kedudukan yang khas.
Dan hadis yang menyentuh tentang kedatangan mujaddid adalah “Hazrat Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda; Allah Ta’ala akan mengutus mujaddid pada setiap permulaan abad yang akan memperbaharui agama untuk umat ini”. (Sunan Abu Daud, Kitabul Malahim, bab Maa Yuzkara Fi Qarnil Mi’ah hadis 4291)
Terjemahan yang digunakan di sini ialah wahid (tunggal), tetapi di sini boleh bererti jamak atau ramai. Ini kerana pakar bahasa Arab mengatakan bahawa dalam MAIYUJADDIDU LAHAA DIINAHAA, lafaz MAN di sini boleh juga digunakan untuk jamak. Jadi, mereka itu yang akan memperbaharui agama umat yakni kerosakan yang berlaku di kalangan umat akan diperbaiki olehnya dan kecenderungan kepada agama dan berkorban untuknya akan ditingkatkan. Sekarang, setiap permulaan abad dikatakan sebagai kedatangan mujaddid, atau dalam setiap abad disebut mujaddid, maka jika ia dibaca bersama dengan hadis Khilafat Ala Min Haajin Nubuwwah, maka pertama sekali adalah nubuwwah kemudian baru menyusul khilafat ala minhaajin nubuwwah. Kemudian, apabila nikmat ini diangkat maka akan ada kerajaan-kerajaan yang zalim. Selama Khilafat Ala Minhaajin Nubuwwah masih wujud, kemudian para sahabat masih hidup, para taba’ tabi’in masih hidup, satu abad telah berlalu, agama belum begitu mengalami kerosakan. Sehingga waktu itu belum dikatakan mengenai mujaddid. Hanya selepas satu abad berlalu, barulah mujaddid dikatakan akan lahir kerana dalam abad pertama mujaddid belum diperlukan. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam memberikan khabar bahawa kedatangan mujaddid adalah selepas berlalu seabad, seolah-olah memberi khabar bahawa selepas era khilafat berlalu dan juga tentang bid’ah-bid’ah yang dimasukkan ke dalam Islam dengan begitu banyak, dan banyak firkah-firkah yang akan terjadi. Seolah-olah bid’ah itu suatu perkara yang menyebabkan mujaddid diutus dan mujaddid ini akan mula memperbaikinya. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga menulis bahawa sejarah membuktikan, dalam satu-satu masa ada beberapa mujaddid yang lahir. Tetapi apabila Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dalam hadis ini memberi khabar suka mengenai kedatangan Maseeh Mau’ud dan mujaddid yang agung dan juga mujaddid ribuan tahun yang terakhir, baginda juga memberi khabar suka mengenai kedatangan Khilafat Alaa Min Haajin Nubuwwah untuk kali kedua. Kemudian baginda berdiam diri. Jadi, keperluan mujaddid setelah mendapat hidayat daripada Allah untuk mereka memperbaharui agama di tempat masing-masing berlangsung selagi Maseeh Mau’ud belum muncul. Apabila Maseeh Mau’ud alaihissalam sudah datang sebagai mujaddid abad ke-14 dan juga sebagai mujaddid ribuan tahun yang terakhir, maka nizam yang berjalan ialah Nizam Khilafat Alaa Min Haajin Nubuwwah. Dan sebagaimana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam katakan bahawa ia adalah satu kudrat yang agung.
Allah Ta’ala telah memimpin jiwa-jiwa ke arah kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Orang-orang yang tidak ada hubungan dengan jemaat dan juga pelbagai penganut agama, mereka diperlihatkan dalam rukya tentang khulafa untuk menyokong hal ini bahawa sekarang, Nizam Khilafat adalah nizam yang sebenar, menghubungkan diri dengannya akan dapat melakukan tajdid agama. Tidak ada di dalam Al-Qur’an atau di dalam hadis yang menyentuh tentang mujaddid-mujaddid, tetapi berkenaan dengan khilafat ada didapati dan saya telah sampaikan dalam khutbah pada 27 Mei dengan menyentuh tentang ayat istikhlaf.
Jadi, selepas kemunculan khatamul khulafa dan mujaddid ribuan tahun yang terakhir maka mujaddid sekarang ini akan menjadi zilli atau bayangan kepadanya. Dan zilli yang hakiki ialah Nizam Khilafat. Dan itulah yang sedang melakukan tajdid agama dan akan terus melaksanakannya, insyaAllah Ta’ala.
Jadi, sebagai ganti berbahas mengenai perkara ini “bila akan datang mujaddid abad seterusnya, akan datangkah atau tidak”, adalah lebih baik kita yakin sepenuhnya atas dakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam lalu berusaha mengembangkan misi beliau. Kita juga harus cenderung ke arah memperbaiki keadaan diri kita sendiri dan memperbaiki keadaan anak keturunan kita. Kita juga perlu untuk menjunjung tinggi ajaran Islam yang sebenar dan menyebarkannya. Zaman sekarang ini, penyebaran melalui pelbagai cara, ada yang dalam bentuk buku atau risalah, ada melalui program TV, sebab itu semua ini menjadi kewajipan kita. Bid’ah dan ajaran salah yang telah masuk dalam ajaran Islam sekarang ini telah dijauhi oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dan sekarang ini diteruskan oleh para Khalifah Ahmadiyah. Jadi, setiap Ahmadi juga harus mengambil perhatian tentang hal ini. Kemarin atau kemarin dulu saya membaca satu surat dari Arab, dia menulis: “perbuatan mullah-mullah dan pelbagai jenis bid’ah dan ajaran dan gambaran yang silap menyebabkan saya merasa sangat susah hati, secara kebetulan saya mendapat channel MTA, saya melihat ajaran Islam yang hakiki, dapat mengetahui kedudukan nabi Isa bahawa beliau telah wafat dan bukannya duduk di atas langit, dan pelbagai perkara saya dapati sehingga hati menjadi tenteram. Memang sejak dari dulu hati saya tidak dapat menerima seseorang boleh hidup sehingga dua ribu tahun di atas langit. Akhirnya saya bergabung dalam jemaat”.
Perkara inilah yang telah diketahui oleh dunia melalui Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Selepas 100 tahun berlalu, tidak perlu seorang mujaddid, kerana sehingga satu ribu tahun Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam adalah mujaddid sebagaimana yang beliau katakan sendiri. Tanggungjawab kita ialah menyokong sepenuhnya supaya ajaran Islam yang sebenar dapat disampaikan ke seluruh dunia. Imam zaman ini dan Maseeh wa Mahdi dan Mujaddid Alaf Akhir telah diberikan sarana oleh Allah. Kita hanya perlu meneruskan untuk mentarbiyat dunia. Sebab itu, setiap orang yang berusaha menjunjung tinggi ajaran yang cantik ini dalam dirinya dan juga memberi perhatian dalam menyebarkannya, mereka itu menjadi penolong-penolong terhadap beliau dan para khalifah beliau, dan akan melakukan tajdid agama. Jadi, kita hendaklah memberi tumpuan ke arah ini, berusaha menyebarkan ajaran ini dan berharap dapat melihat kemenangan Islam, semoga Allah memberi taufik kepada setiap Ahmadi.
Waktu ini ada berita yang menyedihkan. Selepas Jumaat ini saya akan memimpin solat jenazah. Mukarram Khairuddin Barus Sahib dari Indonesia. Beliau dilahirkan di Medan Indonesia pada tahun 1947, bai’at dalam tahun 1971. Beliau menuntut di Jami’ah Rabwah dalam tahun 1973. Beliau masuk kelas Fashli Khas. Kemudian belajar bahasa Urdu. Dengan usaha keras beliau, akhirnya dalam tahun 1982 beliau berjaya mendapat Ijazah syahid dari jami’ah. Beliau pertama sekali ditempatkan di Indonesia sebagai muballigh pada Jun 1982, di Abai, Medan. Kemudian dihantar ke Malaysia selama empat bulan dalam tahun 1983 di mana beliau terlibat dalam pembinaan masjid di Kuala Lumpur. Selepas balik dari Malaysia dalam tahun 1993, beliau bertugas di Indonesia sebagai muballigh di pelbagai tempat. Dari tahun 1993 sehingga 1998, beliau menjadi Missionary Incharge Filipina. Sejak 1998, beliau ditugaskan di Papua New Guinea sebagai Muballigh Incharge sehinggalah kewafatan beliau. 6 Jun 2011 beliau meninggal dunia. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN.
Khairuddin Barus Sahib seorang mukhlis, sangat itaat, setia dan berkhidmat sebagai muballigh dalam ruh wakaf yang sebenar. Sangat giat bertabligh. Banyak jemaat-jemaat yang berdiri melalui beliau. Masjid-masjid juga berdiri melalui beliau. Apa sahaja tugasan dari jemaat, beliau lakukan dengan penuh dedikasi. Beliau seorang Musi. Dengan kurnia Allah beliau banyak berkahwin dan kini beliau meninggalkan tiga orang isteri. Semua anak-anaknya seramai 14 orang, lapan orang lelaki dan enam orang perempuan. Semoga semua yang ditinggalkan dapat bersabar dan darjat Barus Sahib ditinggikan. Semoga keturunan beliau menjadi anak yang soleh dan menjadi pengkhidmat agama.
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Diterjemahkan oleh
Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
05.08.2011
barahin.ahmadi@gmail.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *