Uncategorized

Seruan Memahami Ajaran Al-Qur’an


Surah Al-Hadid:17
Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mempelajari Al-Qur’an dan beramal padanya, maka pada hari kiamat ibu bapanya akan dipakaikan dua mahkota yang lebih bersinar daripada sinaran matahari yang masuk ke dalam rumah. Jadi, sekiranya ibu bapa orang berkenaan mendapat kemuliaan sebegitu rupa, cuba bayangkan bagaimana kemuliaan yang dapat dicapai oleh orang itu sendiri”. (Abu Daud Kitabul Witr bab Tsawab Qiro’atal Qur’an)
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga bersabda: “Orang yang mahir membaca Al-Qur’an, dia akan bersama-sama dengan orang-orang soleh dan hamba-hamba Allah yang terpilih”. (Abu Daud Kitabul Witr bab Tsawab Qiro’atal Qur’an)
Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata: “Kita hendaklah banyak membaca Al-Qur’an, dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan taufik dalam membacanya. Ini kerana, insan tidak mendapat apa-apa jika tidak berusaha. Cuba lihat, petani yang bekerja keras membajak tanah, akhirnya dia mendapat hasil yang baik”. (Malfoozaat Jilid 3, halaman 232)
Berkata lagi: “Allah Ta’ala yang lebih tahu sejauh mana kesahihan perkara ini bahawa Imam Ja’afar berkata, setiap kali saya membaca Kalam Ilahi, pada masa itu juga ilham Ilahi turun. Namun perkara ini nampaknya masuk akal kerana setiap benda menarik benda lain ke arahnya.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 520)
Berkata lagi: “Sungguh malang sekali orang yang tidak cenderung ke arah Al-Qur’an dengan penuh semangat dan perhatian laksana orang dunia yang tekun memikirkan dunianya dan seorang penyair yang sibuk merenungkan syair-syairnya.
Sekuat mana seorang penyair berusaha melengkapkan puisinya, orang sekarang tidak berusaha seperti itu untuk memahami satu ayat Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan khazanah mutiara, namun orang ramai tidak mengetahuinya. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 542)
Beliau berkata lagi: “Satu cara yang terbaik ialah dalam amalan-amalan seperti itu, masa yang dia belanjakan lebih baik diberikan untuk merenungkan Al-Qur’an. Jika hati dalam keadaan keras maka untuk melembutkannya ialah dengan cara berulangkali membaca Al-Qur’an, di mana terjumpa doa, hati seorang mukmin menginginkan agar dia termasuk dalam rahmat Ilahi. Misal Al-Qur’an adalah seumpama kebun yang luas, dari satu tempat seorang insan memilih buah yang dia kehendaki dan berjalan terus untuk mencari buah yang seterusnya. Jadi, sedapat yang mungkin, ambillah faedah di setiap tempat. (Malfoozaat Jilid 3, halaman 519)
Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani berkata:-
            “Al-Qur’an Cuma sebuah kitab yang kecil tetapi ia seperti bumi di mana di satu bahagian bawahnya ada satu huraian, di bahagian kedua di bawahnya juga ada satu huraian, di bahagian ketiga di bawahnya juga ada huraian dan demikianlah, dengan hanya beberapa perkataan terdapat ribuan huraian yang boleh dibuat. (Anwarul Uloom Jilid 22 halaman 396)
Kemudian berkata lagi:-
            “Jadi, saya menasihatkan kepada anggota jemaatku bahawa kamu hendaklah berusaha untuk mempelajari Al-Qur’an dan kamu akan menemui ilmu pengetahuan sehingga mendapat kelazatan dalam kerohanian, dan mereka juga akan dapat mengetahui bahawa mereka sedang berada di dalam lautan yang mana mutiaranya tidak akan habis dibawa keluar”. (Khutbaat Mahmood Jilid 6, halaman 189)
Berkata lagi:-
            “Ada satu kisah mengenai seorang wazir kepada raja. Dia sangat suka belajar dan mengajar ilmu. Dia memberitahu kepada orang di bandar bahawa berikan kepada saya 40 orang anak-anak kamu dan biarkan bersama saya selama dua belas tahun. Kemudian, keinginanannya disempurnakan. Orang ramai sangat yakin kepadanya sehingga memberikan anak-anak mereka. Orang itu membeli sebuah rumah dan dia sendiri tinggal di situ bersama beberapa guru yang lain. Cara yang beliau amalkan ialah bangun pada waktu subuh dan meletakkan Al-Qur’an di hadapan anak-anak itu lalu menyuruh mereka membacanya. Kemudian memimpin Solat Tahajjud sehinggalah waktu Solat Subuh. Kemudian menyuruh mereka azan dan di perantaraan solat memberitahu satu ayat Al-Qur’an dan menyuruh mereka menghafalnya. Kemudian memimpin solat Subuh, selepas solat menyuruh mereka menghafal satu hadis. Selepas itu membawa mereka keluar dan membuat senaman. Apabila sinaran matahari sudah di atas kepada, dia membawa mereka ke sungai dan mengajar cara-cara berenang. Setelah balik dari senaman dan berenang, dia mengajarkan pelajaran ringkas mengenai masalah Nahu, masalah Sarf dan mengajarkan satu syair dari penyair yang terkenal dan mengajarkan huraiannya. Kemudian Solat Zuhur tiba lalu solat berjemaah, kemudian mengajar anak-anak bahasa Arab dengan menyuruh mereka menghafal Dharbul Matsal, mengajarkan suatu masalah Fiqah atau Mantiq. Kemudian memimpin Solat Asar, selepas itu membawa mereka keluar dan mengajarkan ilmu peperangan. Demikianlah aktiviti mereka setiap hari, ada saja ilmu-ilmu baru yang diajarkan. Dalam dua belas tahun, mereka telah berhasil menjadikan anak-anak itu mahir dalam Al-Qur’an dan Hadis. Hafiz Al-Qur’an, Pakar Mantiq dan Pakar ilmu Fiqah, di samping itu juga mereka menjadi askar yang berani.
Ringkasnya, bukanlah satu amalan yang sukar jika menghafal satu benda setiap hari. Jadi, hafal setiap hari ayat-ayat Al-Qur’an, maka tidak lama selepas itu kamu akan dapat menamatkan terjemahan Al-Qur’an. Ada ayat-ayat yang pendek, jika digabungkan dengan ayat pendek yang lain, maka satu hal yang luar biasa. Jika tiga baris di hafal setiap hari maka dalam masa tiga tahun kamu akan tamat belajar terjemahan Al-Qur’an. Skim ini harus dimulakan dalam diri anak-anak. Dan jika Lajnah Imaillah menjadikan hal ini amalan peribadi, maka ibu-ibu juga boleh mengajarkannya kepada anak-anak”. (Anwarul Uloom Jilid 21, halaman 228-229)
Berkata lagi:-
            “Al-Qur’an adalah nyawa agama, membayangkan suatu kemajuan tanpa memikirkan program belajar dan mengajar Al-Qur’an satu khayalan yang sia-sia. Hazrat Khalifatul Maseeh Awal secara umumnya memberikan daras kepada wanita-wanita dengan memberikan contoh yang pendek dan halus. Jika kita mahu, kita boleh mengambil pelajaran daripadanya. Beliau berkata; ‘cuba lihat! Apabila saya katakan baca atau dengar Al-Qur’an, maka kamu menjawab; kami tidak pandai membaca. Sedangkan apabila anak seseorang wanita belajar di luar dan ada surat yang datang dari Negara luar atas nama mereka, maka bagi mereka yang pandai membaca akan membacanya sekali lalu menyimpannya. Tetapi wanita yang tidak pandai membaca, mereka tidak akan puas mendengar bacaannya sekali, mereka akan pergi kepada seseorang untuk menyuruhnya membaca surat itu. …. Jadi, Tuhan tidak akan mendengar alasan kamu bahawa ‘kami tidak pandai membaca’. Tuhan akan bertanya kepada kamu ‘kenapa surat anak kamu berkali-kali kamu suruh orang membacakannya kepada kamu. Kenapa surat dari Aku kamu tidak minta orang untuk memperdengarkannya kepada kamu? Jika kamu cinta kepada Aku melebihi kecintaan kepada anak-anak kamu, sudah tentu kamu akan berusaha mendengar surat Aku walaupun dengan perantaraan orang lain. Tetapi kamu simpan begitu sahaja surat daripada Aku. Kamu tidak dengar daripada orang lain melainkan kamu berjalan ke sana sini hanya membawa surat anak kamu.” (Anwarul Uloom Jilid 18, halaman 135, 136)
Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis berkata:-
            “Tanggungjawab setiap Ahmadi hari ini ialah menyempurnakan hak menilawatkan Al-Qur’an. Selamatkan diri kamu dan selamatkan juga dunia. Orang yang sudah terdorong ke arah agama yang benar tetapi sehingga kini belum menjadi Ahmadi, di antara mereka yang benar-benar mencari agama yang hakiki, akhirnya masuk bergabung dalam Jemaat Ahmadiyah. InsyaAllah. Untuk itu, setiap Ahmadi harus mempersiapkan diri setiap masa. Oleh kerana hari ini, musuh berusaha menghapuskan Islam dengan menggunakan pelbagai cara yang tidak patut, maka kita seharusnya membaca Al-Qur’an, memahami dan merenungkan sedalam-dalamnya lebih baik dari sebelumnya, kita juga hendaklah lebih banyak tunduk di hadapan Allah lebih baik dari sebelumnya. Kita hendaklah mengambil berkat sebanyak-banyaknya dengan cara tunduk kepada Allah lebih baik dari sebelumnya. Semoga Allah memberikan kita semua taufik untuk itu.” (Masy’ale Rah Jilid 5 bahagian 5, halaman 121,122)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *