Uncategorized

SIAPA ANGGOTA JEMAAT AHMADIYAH YANG SEBENAR?

“Janganlah kamu mengira bahawa bai’at secara lahir itu sudah cukup memadai. Bentuk lahir tidak bererti apa-apa. Tuhan melihat hati kamu sekalian dan Dia akan memperlakukan kamu sesuai dengan keadaan hatimu. Perhatikanlah, dengan mengatakan kata-kata ini aku menunaikan kewajipan tabligh bahawa dosa itu merupakan racun; oleh kerana itu, janganlah termakan racun itu. Keingkaran terhadap Tuhan adalah suatu kematian yang kotor, maka hindarilah. Berdoalah agar kamu mendapat kekuatan.
Barangsiapa yang apabila memanjatkan doa dengan tidak disertai keyakinan bahawa Tuhan berkuasa atas tiap sesuatu – kecuali kalau Dia sendiri telah menjanjikan sesuatu yang lain – dia bukan dari Jemaatku.
Barangsiapa yang terjerat oleh ketamakan kepada dunia ini dan sama sekali tidak mengarahkan pandangannya ke arah Hari Kemudian, dia bukan dari Jemaatku.
Barangsiapa yang sebenar-benarnya tidak mendahulukan agama dari perkara keduniaan, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak benar-benar bertaubat dari tiap-tiap keburukan, dan dari setiap perbuatan buruk seperti minum minuman keras, berjudi, memandang dengan pandangan berahi, khianat, memberi dan menerima rasuah, dan dari setiap perbuatan yang tidak halal, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang mendirikan solat lima waktu dengan tidak tetap dan teratur, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak tetap dalam memanjatkan doa dan tidak mengingati Tuhan dengan kerendahan hati, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak meninggalkan persahabatan yang buruk dan yang boleh memberi pengaruh tidak baik kepadanya, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak menghormati ibu bapanya dan tidak mentaati mereka dalam perkara kebaikan dan perintah-perintah yang tidak bertentangan dengan Al-Qur’an, atau tidak mengambil perhatian dalam mengkhidmati mereka dengan sebaik-baik khidmat, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak berkelakuan lemah-lembut dan kasih sayang terhadap isteri dan kaum keluarganya, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang memahrumkan atau menghindari jiran tetangganya dari sekecil-kecil kebaikan, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang yang bersalah terhadapnya serta dia seorang pendendam, dia bukanlah dari Jemaatku.

Setiap suami yang berkhianat terhadap isterinya dan setiap isteri yang berkhianat terhadap suaminya, mereka bukanlah dari Jemaatku.” (Ajaranku, halaman 21-23)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *