
Tafsir Surah Al-Ikhlas

Dengan ayat yang pendek ini, ia menjelaskan dengan begitu indah sekali tentang kesucian wujud Tuhan dari sebarang jenis sekutu. Menurut perhitungan akal yang sihat, sekutu itu ada empat jenis. Adakalanya sekutu itu berlaku dalam bilangan, kadang-kadang dalam kedudukan, adakalanya dalam keturunan dan adakalanya dalam perbuatan dan pengaruh. Jadi, dalam surah ini menjelaskan bahawa Tuhan itu benar-benar bersih dari segala sekutu dalam keempat-empat jenis ini.
Dalam bilangan Dia cuma Satu, tidak dua atau tiga. Dia juga shomad, yakni tempat kebergantungan segala sesuatu, tanpa-Nya segala yang lain tidak akan wujud dan tidak kekal. Dia juga lam yalid yakni tidak beranak dan tidak mempunyai anak kerana jika ada anak maka sudah tentu ada sekutu-Nya. Dia juga lam yulad yakni tidak diperanakkan, tidak mempunyai bapa agar tidak ada sekutu-Nya. Kemudian lam yakul lahuu kufuwan ahad yakni dalam segala pekerjaan yang Dia buat, tidak ada yang menyamai yang memungkinkan ada wujud sekutu-Nya. Jadi, dari keempat-empat jenis sekutu ini, Allah Ta’ala memang benar-benar suci dan tidak ada sekutu bagi-Nya. (Barahin Ahmadiyah bahagian Empat, Rohani Khazain Jilid 1, halaman 518, catatan nota kaki nombor 3)
Ajaran Quran yang suci ialah Tuhan itu wahid dan hamid yang Zat-Nya adalah tauhid. Allah Ta’ala menciptakan makhluk yang ada persamaan sifat-sifat. Dan beberapa di antara mereka memang benar-benar sama. Ini bertujuan agar tidak ada seorang pun boleh tertipu dari segi keistimewaan atau kemahiran yang dia miliki. Dan Allah Ta’ala dalam segala sifat tidak ada sekutu-Nya. Sebab itu, di dalam Quran surah Ikhlas menjelaskan tentang rahsia bahawa zat yang Esa hanyalah sifat khas Allah Ta’ala. Perhatikanlah bahawa Allah Ta’ala berfirman qul huwal laahu ahad. (Ainah Kamalate Islam, Rohani Khazain jilid 5, halaman 44,45)
Katakanlah bahawa Tuhan itu Tuhan yang Maha Agung, Dia tidak diperanakkan dari rahim seorang wanita. Segala sesuatu bergantung kepada-Nya dan Dia tidak bergantung kepada sesiapa. Tidak ada kaum kerabat atau serupa-Nya, tidak ada bapa, tidak ada ibu, tidak ada saudara lelaki atau wanita, dan juga tidak ada yang sama taraf dengan-Nya. Dan yang paling sempurna ialah lam yalid yakni Tuhan itu bukanlah anak sesiapa atau tidak diperanakkan oleh sesiapa pun. (Sat Bacan, Rohani Khazain Jilid 10, halaman 263,264)
Tuhan itu Tuhan yang Esa. Dia bukan anak kepada sesiapa dan juga tidak mempunyai anak. Tidak ada yan serupa dengan-Nya dan tidak ada sebarang persamaan dengan-Nya. (Islam Usul Ki Filosofi, Rohani Khazain Jilid 10, halaman 376)
Kecantikan (husni) merupakan perkara yang menarik hati secara semulajadi, dan dengan melihatnya akan menimbulkan rasa kecintaan. Dengan itu, kecantikan kewujudan Allah Ta’ala adalah keEsaan-Nya, keagungan-Nya, kemuliaan-Nya dan sifat-sifat-Nya sebagaimana dalam Quran Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad yakni Tuhan dalam Zat, Sifat dan Kemegahan adalah sendiri, tidak ada sekutu-Nya. Semua yang lain memerlukan-Nya. Setiap zarah mendapat kehidupan dari-Nya. Dia adalah permulaan segala sesuatu dan Dia tidak memerlukan sesiapa. Dia bukan anak kepada sesiapa dan bukan juga bapa kepada sesiapa. Dia tidak ada persamaan dengan sesiapa dari segi zat.
Quran berkali-kali mempersembahkan kesempurnaan Allah Ta’ala dan juga memperlihatkan keagungan-Nya supaya manusia memberikan perhatian bahawa Tuhan yang menarik hati itu tidaklah mati, lemah atau kurang dalam kasih sayang dan kudrat-Nya. (Islam Usul Ki Filosofi, Rohani Khazain Jilid 10, halaman 417)
Di dalam Taurat tidak dijumpai tentang sifat Allah Ta’ala yang sempurna. Kalau seandainya di dalam Taurat ada surah seperti yang terdapat dalam Al-Quran iaitu Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad maka sudah tentu umat Kristian tidak akan menjadi penyembah makhluk. (Kitabul Birriyah, Rohani Khazain Jilid 13, halaman 84)
Katakan kepada mereka bahawa Tuhan yang benar itu adalah Tuhan yang Esa, yang bukan bapa kepada sesiapa dan bukan juga anak kepada sesiapa, dan tidak ada juga yang serupa dengan-Nya. (Tiryaqul Qulub, Rohani Khazain Jilid15, halaman 355)
Doa yang ketiga ialah tentang walad dhoolliin, dan bertentangan dengan itu pada bahagian akhir Quran ada ayat …. Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad Ia memiliki tujuan penting yang diterangkan di dalam Quran, ia dibuka dengan surah Fatihah sebagai lambang keindahan, kemudian ketika khatam Quran ada dibaca surah tabbat, surah Ikhlas, Falaq dan An-Naas untuk memohon perlindungan dari kedua-dua musibat itu. Jadi, ketika membuka kitabullah juga memohon kedua-dua doa itu dan menutup kitabullah juga menyentuh tentang kedua-dua doa itu. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 218)
Wahai umat Islam! Katakan kepada umat Kristian bahawa Allah Ta’ala itu Esa, Dia tempat bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada serupa dengan-Nya. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 220)
Al-Quran juga sejak permulaan lagi telah menyentuh tentang maghdhuubi alaihim dan juga dhoolliin, kemudian pada bahagian akhir ia menjelaskan tentang perkara ini sebagaimana dalam ayat Lam Yalid, Wa Lam Yulad. Semua ini adalah untuk membuat penekanan dan juga memberitahu bahawa khabar ghaib tentang Maseeh Mau’ud dan kemenangan atas Kristian bukan sekadar falsafah tetapi akan bersinar seperti matahari. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 222)
Penzahiran syaitan yang terakhir dinamakan sebagai dajjal iaitu penzahiran yang sempurna baginya, di mana Al-Quran telah menyentuhnya dipermulaan lagi dan juga pada bahagian akhir, yakni firqah dhoolliin yang disentuh dalam surah Fatihah. Kemudian tiga surah terakhir Quran juga menyentuhnya iaitu surah Ikhlas, Falaq dan surah An-Naas. Cuma bezanya ialah dalam surah Al-Ikhlas menjelaskan tentang akidah kaum ini sebagaimana firman Allah Ta’ala Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad Yakni Allah Ta’ala itu Esa dan Ahad, yakni tidak ada lagi selain Dia. Tidak mempunyai anak dan bukan anak kepada sesiapa, dan tidak ada serupa dengan-Nya. Ringkasnya, dalam surah ini menjelaskan apa akidah kaum tersebut. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid17, nota kaki halaman 269,270)
Dengan menyatakan ayat Qul Huwallaahu Ahad, Allaahus Shomad menjelaskan bahawa Dia adalah sembahan yang hakiki, yakni segala sesuatu akan memperhambakan diri kepada-Nya, rujuk kepada-Nya. Segala yang lain memerlukan Dia sedangkan Dia tidak perlukan sesiapa. Kemudian ayat Lam Yalid Wa Lam Yuulad menyatakan bahawa Dia tidak mempunyai anak dan Dia bukan anak kepada sesiapa. Kemudian ayat Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad memberitahu bahawa sejak azali lagi tidak ada yang serupa dengan-Nya, yakni wujudnya sangat suci. …… kedua-dua surah ini (Ikhlas dan Falaq) hanya menyentuh satu firqah , bezanya cuma dalam surah Ikhlas memberitahu tentang akidah firqah tersebut dan surah Falaq memberitahu keadaan amalan mereka. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 270,271, nota kaki)
Dalam ayat Qul Huwallaahu Ahad ….. mempersembahkan akidah yang perlu diterima, kemudian Lam Yalid Wa Lam Yuulad diajarkan tentang akidah yang patut ditolak. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 285, nota kaki)
Di dalam bahagian akhir Quran, ada penolakan ajaran Kristian sebagaimana yang diajarkan dalam ayat Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad. (Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 84)
Di dalam Al-Quran Tuhan kita telah menjelaskan tentang kemuliaan-Nya melalui ayat Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad yakni “Tuhan kamu ialah Tuhan yang dalam zat dan sifat-Nya adalah Satu. Tidak ada satu zat pun yang menyerupai zat-Nya yang kekal abadi sampai bila-bila, dan tidak juga mana-mana sifat yang dapat menyerupai sifat-sifat-Nya. Ilmu manusia itu terhad dan memerlukan mana-mana guru. Tetapi, ilmu Allah tidak memerlukan sesiapa, tambahan lagi ia tidak terhad. Pendengaran manusia adalah terhad dan memerlukan udara, tetapi pendengaran Tuhan tidak terhad dari segi zat-Nya. Penglihatan manusia juga terhad dan memerlukan matahari atau mana-mana cahaya untuk melihat sedangkan penglihatan Tuhan adalah dari cahaya asli dan tidak terbatas. Demikian juga bahawa apabila manusia mencipta sesuatu, mereka memerlukan sarana dan masa. Tetapi, Tuhan tidak ada batas masa dan tidak memerlukan sokongan, ini kerana semua sifat-sifat-Nya sempurna dan tidak ada serupanya. Jika ada satu sifat dalam keadaan kurang, maka sifat yang lain juga pasti dalam kekurangan. Sebab itu ketauhidan-Nya juga tidak kekal selagi sifat-sifat-Nya tidak seperti zat-Nya yang tidak ada serupa-Nya. Kemudian dijelaskan lagi bahawa Tuhan bukanlah anak kepada sesiapa dan Dia tidak mempunyai anak kerana zat-Nya Maha Meliputi. Dia tidak memerlukan ayah dan tidak juga anak. Inilah Tauhid yang diajarkan oleh Al-Quran dan asas kepada keimanan. (Lecture Sialkot, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 154,155)
Katakanlah kepada mereka bahawa Tuhan itu Satu dan Maha Meliputi. Dia tidak mempunyai anak dan bukan ayah kepada sesiapa, dan tidak ada yang setanding dengan-Nya. (Majmu’ah Isytiharat Jilid 2, halaman 58,59)
Jika Rasulullahsaw tidak datang, jangankan kenabian malah bukti ketuhanan juga tidak akan diperolehi seperti ini. Melalui bagindasaw kita dapat mengetahui bahawa Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad. Jika dalam Taurat ada ajaran seperti ini dan Al-Quran hanya memberikan penjelasan, maka kenapa harus ada wujud Kristian? (Report Jalsa Salana 1897, halaman 51,52)
Kesaksian bumi dan langit memberitahu bahawa ini bukan hasil ciptaan Tuhan yang palsu tetapi memperlihatkan Tuhan yang Ahad, Shomad, Lam Yalid, Walam Yulad, iaitu Tuhan yang Hidup dan Kekal, dan itu yang dipersembahkan oleh Islam.
Paderi Pfander yang dahulu pernah datang ke India untuk mengadakan perbahasan tentang mazhab-mazhab dan banyak membuat bantahan tentang Islam. Dalam bukunya Mizanul Haq dia sendiri menulis dalam bentuk persoalan “jika ada suatu pulau yang belum diajarkan tentang Triniti, adakah penduduk di sana akan dihisab dengan ajaran Triniti di akhirat nanti?” Kemudian dia sendiri menjawab, “mereka akan dihisab dengan ajaran Tauhid”. Jadi, dari hal itu fahamilah bahawa seandainya gambaran Tauhid itu tidak diperolehi dalam segala benda, dan ajaran Triniti ini bukan buatan, maka dari mana datangnya istilah akan dihisab dengan akidah Tauhid. (Report Jalsa Salana 1897 halaman 71)
Fitnah Kristian itu sangat besar, sebab itu Allah Ta’ala di dalam Al-Quran telah memberikan satu surah khusus yang menyentuh tentang mereka. Maknanya, selain surah Al-Ikhlas tidak ada satu surah lain yang dikhususkan untuk menerangkan tentang mereka. Ahadun adalah nama Tuhan dan maksud Ahadun itu mengatasi istilah satu. Shomadun bermaksud sejak azali lagi zat-Nya tempat bergantung segala sesuatu, dan Dia tidak memerlukan sesiapa untuk bergantung. Jika mengakui akidah tiga oknum, itu maknanya ia saling memerlukan. (Al-Hakam Jilid 5, Nombor 12, tarikh 31 Mac 1901, halaman 9)
Katakanlah bahawa Tuhan itu Esa. Huwa adalah nama Tuhan. Dia itu Satu, tidak bergantung kepada sesiapa. Dia tidak memerlukan makan minum, Dia tidak terbatas dalam soal masa atau tempat. Dia bukan bapa kepada sesiapa dan bukan juga anak kepada sesiapa. Tidak ada yang serupa dengan-Nya dan tidak ada perubahan pada diri-Nya. Surah ini singkat sahaja di dalam Quran, dalam satu baris sahaja. Tetapi, perhatikanlah bagaimana ia menjelaskan dengan begitu indah sekali tentang Tuhan yang bebas dari segala jenis kesyirikan.
Dari segi pemikiran akal, berapa banyak jenis syirik pun yang boleh dikategorikan, Tuhan telah disucikan daripada kesemuanya. Benda-benda yang berada di dalam langit dan bumi, ia mengalami perubahan, tetapi tidak bagi Tuhan. Begitu terangnya kebenaran telah dapat dijelaskan dan dibuktikan sehingga otak pun cenderung kepada perkara ini. Cahaya hati yang syariatnya ada di dalam hati memberikan kesaksian terhadap perkara ini. Undang-undang kudrat menjadi saksi tentang kebenaran ini sehingga setiap helaian daun pun menyaksikannya. Sebab itu, untuk mengenal-Nya adalah satu perkara yang agung. Allah Ta’ala yang telah menjelaskan di dalam Quran dengan ayat yang begitu pendek ini, kalau orang-orang Yahudi meninggalkan Taurat lalu memperhatikan perkara ini, sudah tentu mereka tidak akan binasa. Begitu juga sekiranya begitu banyak ajaran-ajaran dalam Injil itu ditinggalkan lalu mereka fokus tentang ajaran ini, sudah tentu sebahagian besar di dunia ini tidak akan menjadi kaum yang memuja wujud yang sudah mati. (Al-Hakam Jilid 6, Nombor 19, Tarikh 24 Mei 1902, halaman 5)
Bertentangan dengan dhoolliin itu ada tiga surah terakhir. Asasnya adalah surah qul huwallaahu dan dua surah selepasnya berfungsi sebagai penjelasan. Maksud qul huwallaahu adalah “katakan kepada Kristian bahawa Allah itu Esa, Allah itu tidak bergantung kepada sesiapa, Dia tidak beranak dan tidak juga diperanakkan, dan tidak ada yang serupa dengan-Nya. (Al-Hakam Jilid 6, Nombor 8, tarikh 28 Februari 1902, halaman 5)
Untuk menghayati peristiwa-peristiwa di dalam Qasidah-qasidah sangatlah susah, penyair tidak dapat melaksanakannya. Untuk menghasilkan sesebuah karya, mereka terpaksa mencantumkan perkara dan juga perkataan yang tidak berkaitan. …… bertentangan dengan itu cuba lihat qul huwallaahu ahad, allaahus shomad (Al-Badr jilid 1, nombor 4, tarikh 21 November 1902, halaman 2)
Tuhan kita lam yalid, kita sangat bersyukur dan gembira kerana Tuhan yang kita ikuti, yang telah dipersembahkan oleh Islam adalah Sempurna dan Suci dari segala segi, tidak ada kekurangan pada-Nya. Ada dua kemuliaan sempurna yang terdapat pada Allah Ta’ala, dan semua sifat menjelaskan ke arah-Nya iaitu pertama sekali keindahan zat-Nya dan di dalam Al-Quran menjelaskan laisa kamislihi syai’un, qulhuwallaahu ahad, shomad, tempat bergantung segala sesuatu, bukan anak kepada sesiapa, tidak mempunyai anak, tidak ada serupa dengan-Nya. (Al-Hakam jilid 7, nombor 12, tarikh 31 Mac 1903, halaman 2)
(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 413-418)
