Uncategorized

Tiga Sumber Petunjuk umat Islam

Hazrat Mirza Ghulam Ahmad menulis:
Kedudukan Al-Qur’an Yang Tinggi
Aku mendengar bahawa beberapa orang di antara kamu ada yang sama sekali menolak hadis. Jika hal itu benar maka mereka itu sangat keliru. Aku tidak mengajarkan yang demikian, malah aku mengajarkan bahawa untuk memberi petunjuk kepada kamu, Tuhan telah memberikan kepada kamu:-
(1) Pertama sekali ialah Al-Qur’an yang mengutarakan Keesaan, Kegagahan, dan Keagungan Tuhan di dalamnya, dan juga memutuskan masalah pertentangan pendapat yang ada di kalangan Yahudi dan Nasrani.
Demikian juga Qur’an Syarif melarang kamu agar jangan memuja apa pun selain Allah, baik berupa benda, manusia, haiwan, matahari, bulan, dan bintang-bintang lain atau pun diri sendiri. Karena itu berhati-hatilah, jangan biarkan kaki berjalan walau selangkah pun ke arah perkara yang bertentangan dengan ajaran Tuhan dan petunjuk Qur’an Syarif. Aku berkata dengan sebenar-benarnya kepada kamu bahawa barangsiapa yang mengabaikan walaupun satu daripada 700 hukum Ilahi di dalam Al-Qur’an, itu bererti dia telah menutup pintu keselamatan baginya dengan tangan sendiri.
Jalan keselamatan yang hakiki telah dibuka oleh Qur’an Syarif sahaja, sedangkan yang lain semuanya itu hanya bayangansemata-mata. Oleh kerana itu, pelajarilah Al-Qur’an Syarif dengan pemikiran yang mendalam, dan cintailah ia dengan kecintaan yang tidak pernah kamu berikan kepada sesiapa pun kerana, sebagaimana Tuhan berfirman kepadaku ALKHOIRU KULLUHUU FIL QUR’AN yakni segala kebaikan-kebaikan terletak di dalam Al-Quran, hal itu memang benar. Sayang sekali orang-orang yang lebih mengutamakan barang lain di atasnya.
Sumber segala kejayaan dan keselamatan kamu terletak di dalam Al-Qur’an Syarif. Tidak satu pun dari keperluan-keperluan rohanibagi kamu yang tidak terdapat di dalam Al-Qur’an Syarif. Pada Hari Kiamat, Al-Qur’an yang akan menjadi saksi sama ada keimanan kamu benar atau dusta. Dan selain Al-Qur’an, tidak ada satu kitab pun di bawah kolong langit yang dapat memberikan petunjuk secara langsung. Tuhan telah berlaku sangat baik kepada kamu kerana menganugerahkan sebuah kitab seperti Al-Qur’an ini.
Aku berkata dengan sebenar-benarnya kepada kamu bahawa Kitab yang telah dibacakan kepada kamu, seandainya ia dibacakan kepada orang Kristian, sudah pasti mereka tidak akan binasa. Nikmat dan petunjuk yang diberikan kepada kamu ini, jika ia diberikan kepada kaum Yahudi menggantikan Taurat, maka banyak dari firqah-firqah mereka yang tidak akan memungkiri Hari Kiamat. Jadi, hargailah nikmat yang dilimpahkan kepada kamu ini. Nikmat ini sangat berharga sekali. Jika Al-Qur’an tidak diturunkan, maka dunia ini hanya kelihatan seperti segumpal daging yang menjijikkan. Sesungguhnya Al-Qur’an Syarif adalah satu kitab yang tidak ada tandingannya dalam soal memberi hidayat.
Al-Qur’an boleh menjadikan seseorang itu suci dalam masa seminggu jika dia tidak berpaling secara zahir mahupun batin. Al-Qur’an Syarif boleh menjadikan kamu seperti para nabi jika kamu tidak lari daripadanya. Selain Al-Qur’an Syarif, kitab mana lagi yang mengajarkan doa sejak awal lagi kepada pembacanya dan diberikan harapan seperti dalam ayat dari Surah Al-Fatihah yakni “Tunjukilah kami pada jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat atas mereka”. (Al-Fatihah:6,7)
Yakni, tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan nikmat yang telah diperlihatkan kepada orang-orang dahulu iaitu nabi, rasul, siddiq, syahid, dan soleh. Oleh karena itu, tingkatkan keberanian kamudan jangan menolak seruan Al-Qur’an Syarif, bahawa Dia bukan hanya hendak memberikan nikmat-nikmat seperti yang diberikan kepada orang dahulu, malah Tuhan beriradah untuk memberikan lebih banyak nikmat lagi kepada kamu.
Tuhan telah menciptakan kamu untuk menjadi pewarisdalam menerima kekayaan rohanidan jasmani, dan sampai Hari Kiamat kekayaan-kekayaantersebut tidak akan diwariskan kepada orang lain.
Tuhan sekali-kali tidak akan memahrumkan (meluputkan) kamu dari nikmat wahyu, ilham, mukalimah(berkata-kata) dan mukhatibah (berkata-kata). Dia akan menyempurnakan terhadap kamu semua nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada orang-orang yang dahulu itu. Akan tetapi barangsiapa yang berdusta atas nama Tuhan dengan cara yang salah dan mengatakan bahawa wahyu Ilahi telah turun kepadanya padahal tidak demikian, atau mengatakan bahawa ia telah mendapat kemuliaan bermukalimah (berkata-kata) dan bermukhatibah (berkata-kata) padahal tidak demikian, maka dengan bersaksikan Allah dan para malaikat-Nya aku berkata bahawa orang itu akan binasa, sebab dia telah berdusta dan menipu atas nama Khaliq-Nya (pencipta-Nya).
Kedudukan Penjelasan Sunnah
(2)        Petunjuk yang kedua bagi kaum Muslimin ialah Sunnah, yaitu segala amal (perbuatan) Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang diperlihatkan sebagai penjelasan dari hukum-hukum(peraturan) Qur’an Syarif. Sebagai contoh, walaupun secara zahir Al-Qur’an tidak menjelaskan tentang jumlah rakaat dalam tiap-tiap solat fardu lima waktu, iaitu berapa rakaat dalam solat Subuh dan solat-solat yang lain, akan tetapi Sunnah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam membuat semuanya menjadi jelas.
Janganlah keliru dengan mengatakan bahawa Sunnahdan hadis itu sama, sebab hadis dikumpulkan sesudah 100-150 tahun kemudian, sedangkan Sunnahitu wujud bersamaan dengan Qur’an Syarif. Selepas Al-Qur’an, Sunnah menempati tempat kedua terbesar dalam ihsan Tuhan kepada manusia. Kewajipan Tuhan dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam hanya ada dua perkara iaitu Tuhan menurunkan Al-Qur’an kepada makhluk-makhluk-Nya melalui firman dan baginda memberitahu sesuai dengan kehendak-Nya.
Inilah tanggungjawab undang-undang Tuhan. Manakala Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam pula bertanggungjawab memperlihatkan kalam (firman) Tuhan secara amalan dan memberi kefahaman yang sebenar kepada manusia. Jadi, Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam memperlihatkan firman dalam bentuk amalan dengan begitu indah, dan dengan amalan yakni sunnah baginda, segala kesulitan manusia dapat diselesaikan.
Adalah tidak tepat jika mengatakan bahawa menyelesaikan masalah bergantung kepada hadis kerana sebelum wujudnya hadis, Islam telah berdiri di muka bumi. Adakah boleh kita katakan bahawa selagi hadis belum wujud, orang Islam tidak mengerjakan solat atau membayar zakat, atau tidak mengerjakan haji, ataupun mereka tidak mengenal halal dan haram?
Kedudukan Hadis Sebagai Penyokong
(3) Petunjuk jalan yang ketiga tentu saja Hadis, sebab hadis telah menjelaskan berbagai masalah mengenai Sejarah Islam, keadaan akhlak dan permasalahan Fiqah. Dan faedah daripada Hadis yang sangat besar ialah hadis menjadi pengkhidmat kepada Al-Qur’an dan juga Sunnah.
Jika ada orang yang tidak diberikan pengetahuan tentang Al-Qur’an, maka dalam keadaan ini hadis menjadi pemutus kepada Al-Qur’an sebagaimana Yahudi memperkatakan mengenai hadis-hadis mereka, tetapi kita menyatakan bahawa hadis adalah pengkhidmat kepada Al-Qur’an dan Sunnah, dan memang jelas bahawa keagungan tuan lebih terserlah dengan adanya orang suruhan. Al-Qur’an adalah firman Tuhan dan Sunnah adalah amal (perbuatan) Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, dan hadis merupakan saksi penyokong kepada Sunnah. Na’uzubillah, adalah salah jika mengatakan bahawa Hadis menjadi hakim atas Al-Qur’an.
Jika memang Al-Qur’an perlu kepada hakim, maka hakim itu adalah Al-Qur’an sendiri. Hadis yang menempati kedudukan ‘mengagak atau menjangka’ sama sekali tidak boleh menjadi hakim, ia hanya boleh berfungsi sebagai penguat bukti atau keterangan. Qur’an Syarif dan Sunnah telah melakukan semua tugasnya yang sebenar, dan hadis hanya menyokong dalil, bagaimana hadis boleh menjadi hakim atas Al-Qur’an?
Al-Qur’an dan Sunnah memberi hidayat (bimbingan) pada zaman itu, sedangkan hadis yang diperkatakan belum pun ada nama dan tanda-tandanya.
Jadi, jangan mengatakan hadis menjadi hakim atas Qur’an, sebaliknya katakanlah bahawa hadis adalah penyokong kepada Qur’an dan Sunnah.
Ringkasnya, Sunnah menzahirkan keinginan Al-Qur’an. Sunnah bermaksud jalan yang telah diletakkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam secara amalan atas para sahabat. Sunnah bukanlah suatu hal yang ditulis dalam kitab-kitab 100 atau 150 tahun kemudian, tetapi yang sedemikian itu adalah Hadis. Dan Sunnah bermaksud keadaan amalan yang baik, yang ditanamkan dalam diri ribuan umat Islam sejak awal-awal lagi. Walaupun kebanyakan Hadis bermartabat spekulasi (mengagak atau menjangka) ia juga boleh diterima jika suatu perkara tidak bertentangan dengan Qur’an Syarif dan Sunnah, dan tetap menunjang Qur’an Syarif dan Sunnah, serta di dalamnya terdapat khazanah yang banyak mengenai masalah-masalah Islamiah.
Jadi, perbuatan tidak menghargai hadismenandakan seolah-olah memotong salah satu anggota badan Islam. Tetapi, jika ada sebuah hadis yang bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, juga bertentangan dengan hadis lain yang sesuai dengan Al-Qur’an, atau misalnya ada hadis yang bertentangan dengan Sahih Bukhari, maka hadis tersebut tidak patut diterima, sebab kalau hadis tersebut diterima, itu bererti menolak Qur’an Syarif dan menolak semua hadis-hadis yang sesuai dengan Qur’an Syarif.
Aku maklum, bahawa tidak ada seorang pun dari antara orang-orang yang bertakwa akan berani mempercayai hadissemacam itu, yang bertentangan dengan Al-Qur’an, Sunnah dan hadis-hadis lain yang sesuai dengan Al-Qur’an.
Walaubagaimanapun, hargailah hadis dan ambillah faedah daripadanya, sebab sumbernyaberasal dari Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, dan selagi Qur’an Syarif dan Sunnah tidak mendustakannya kamu juga tidak harus mendustakannya, malah kamu harus disiplin bahawa tidak ada gerak dan diam kamu dalam suatu perkara, atau kamu melakukan dan tidak melakukan sesuatu kecuali kamu mempunyai hadis yang menyokong perbuatan kamu.
Tetapi, jika:-
(1)   Ada suatu hadis yang memang jelas bertentangan dengan penjelasan Al-Qur’an, maka kamu hendaklah risau untuk mengikuti hadis itu, mungkin kamu di pihak yang salah. Dan jika bantahan itu belum selesai, maka hadis itu hendaklah disingkirkan kerana ia bukan dari Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.
(2)   Dan jika ada suatu hadis itu lemah, tetapi Al-Qur’an sesuai dengannya, maka terimalah hadis itu kerana Al-Qur’an mengakui kebenarannya.
(3)   Jika ada suatu hadis yang menyentuh tentang suatu khabar ghaib, tetapi di sisi para Muhaddis ia adalah lemah, dan pada zaman kamu atau zaman sebelumnya ia telah terjadi dengan nyata, maka akuilah kebenaran hadis itu dan anggaplah muhaddis itu silap dan pendusta kerana menganggap hadis itu lemah dan palsu. Banyak hadis seperti itu yang mengandungi khabar ghaib, dan di kalangan para muhaddis pula ia dianggap majruh (tidak sempurna), maudhu’ (dibuat-buat) atau dho’if (lemah).
Jadi, jika di antara hadis-hadis itu terjadi dengan nyata dan kamu mengatakan “tinggalkan dan kami tidak mahu terima kerana ini hadis dho’if atau perawinya tidak boleh dipercayai”, maka dalam keadaan itu kamu sendiri yang tidak beriman kerana menolak hadis yang telah terjadi dengan nyata sekali.
Cuba bayangkan jika terdapat ribuan hadis seperti itu dan di sisi para Muhaddis semuanya dho’if, sedangkan ribuan khabar ghaib itu terjadi dengan nyata, adakah kamu juga akan mengatakannya sebagai dho’if lalu menafikan ribuan tanda atau bukti mengenai Islam. Jika kamu berbuat demikian, maka kamu boleh dianggap sebagai musuh Islam. Allah Ta’ala berfirman: yakni “Dia tidak akan menzahirkan khabar ghaib-Nya kepada sesiapa pun kecuali kepada Rasul yang Dia redhai.”
Jadi, khabar ghaib ini perlu diberikan kepada siapa jika bukan kepada rasul yang sebenar? Adakah dalam keadaan seperti ini bukan satu bentuk keimanan bahawa suatu hadis yang dianggap dho’if adalah salah para muhaddis? Atau kita terpaksa mengatakan bahawa Tuhan telah salah kerana membenarkan suatu hadis yang dianggap dho’if?
(4)   Jika ada hadis yang dianggap dho’if, dan ia tidak bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, malah ia sejalan dengan ajaran Al-Qur’an, maka hadis itu boleh diguna pakai.
Akan tetapi hendaknya kamu berhati-hati dalam mengikuti hadis-hadis tersebut, sebab ada banyak hadis-hadis yang maudhu’(dibuat-dibuat) yang telah mendatangkan fitnah ke dalam agama Islam. Setiap firqah berpegang kepada hadis yang sesuai dengan akidah masing-masing, sehingga dalam hal solat yang begitu jelas dan mutawatir (tetap) pun, dengan adanya hadis-hadis berkenaan menyebabkan timbul pelbagai cara melaksanakan solat.
Ada yang menyebut lafaz ‘amin’ dengan suara nyaring, ada juga yang mengucapkannya perlahan. Ada yang membaca Fatihahdi belakang imam, ada pula yang menganggapnya boleh merosakkan solat. Ada yang melipat kedua tangannya di atas dada sedangkan yang lainnya meletakkan di atas pusat. Penyebab dari perbedaan ini sesungguhnya berpunca dari hadis-hadis, firman Allah: yakni “Tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka”. (Ar-Rum:33)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *